GOLONGAN YANG WAJIB MEMBAYAR ZAKAT FITRAH
Pertama: Kewajipan
zakat fitrah hanya ke atas orang Islam sebagaimana hadis Abdullah ibn ‘Umar
yang telah dikemukakan sebelum ini: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
mewajibkan zakat fitrah… dari kalangan umat Islam.”
Kedua: Zakat
fitrah diwajibkan ke atas orang yang mampu, iaitu memiliki kecukupan yang
melebihi keperluannya dan orang-orang di bawah tanggungannya untuk sehari
semalam. Batas ini ditetapkan oleh para ahli fiqh mengingatkan tujuan zakat
fitrah adalah untuk memenuhi keperluan orang miskin selama satu hari, iaitu
pada 1 Syawal sempena Aidil Fitri.
Kecukupan
yang melebihi keperluannya adalah sesuatu yang sedia ada di sisinya. Oleh itu
tidak perlu menjual harta, barang kemas dan sebagainya untuk mencapai taraf
kecukupan.
Ketiga: Orang-orang
yang nafkah hidupnya berada di bawah tanggungan orang lain, maka dia tidak
wajib membayar zakat fitrah. Zakat fitrahnya dibayar oleh orang yang menanggung
nafkah hidupnya, berdalilkan hadis berikut: Sesungguhnya Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah ke atas anak kecil dan orang dewasa,
lelaki dan wanita, dari orang-orang yang kalian tanggung nafkah hidupnya.
[Hadis riwayat al-Daraquthni, Irwa’ al-Ghalil fi Takhrij Ahadits Manar
al-Sabil, hadis no: 835]
Oleh itu,
suami yang mampu hendaklah membayar Zakat Fitrah untuk dirinya dan isterinya,
tanpa dibezakan sama ada isterinya bekerja atau tidak. Ini kerana isteri tetap
berada di bawah tanggungannya baik bekerja atau tidak.
Kadar
Bayaran Zakat Fitrah
Kadar
bayaran zakat fitrah ialah satu sha’ sebagaimana yang disebut dalam hadis di
atas. Ukuran satu sha’ ialah 2.157 kilogram dan dibayar dalam bentuk makanan
asasi setempat atau dalam bentuk matawang yang menyamai nilai makanan asasi
tersebut. Orang yang hendak membayar Zakat Fitrah hendaklah memerhatikan
keadaan orang miskin.
Jika memberi
makanan asasi adalah lebih bermanfaat, seperti kepada orang-orang miskin yang
hidup di pendalaman, maka hendaklah dia membayar Zakat Fitrah dengan makanan.
Jika memberi nilai makanan adalah lebih bermanfaat, seperti kepada orang-orang
miskin yang hidup di kota, hendaklah dia membayar Zakat Fitrah dengan nilai
makanan.
Waktu
Membayar Zakat Fitrah
Waktu
terbaik membayar Zakat fitrah ialah sebelum menunaikan Solat Hari Raya.
Dibolehkan membayar Zakat Fitrah lebih awal, namun janganlah terlalu awal
sehingga menghilangkan tujuan Zakat Fitrah itu sendiri. Ini kerana tujuan zakat
fitrah adalah untuk membantu orang miskin meraikan Hari Raya Aidil Fitri. Jika
dibayar terlalu awal, mereka (orang miskin) mungkin akan menggunakan Zakat
Fitrah tersebut sebelum 1 Syawal
Comments
Post a Comment